Rabu, 25 November 2009

Hidup lagi..

Assalamualaikum..

Diam bukan bererti sudah sisihkan diri, kecewa dengan hidup atau mati. Diam adalah menyimpan kekuatan dalam senyap, membantah cara paling terhormat dan mendidik diri agar menjadi penyabar.

Saya telah melalui fasa yang agak sibuk dalam hidup, setakat ini. Kesibukan menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar, anak, abang, ketua persatuan, exco persatuan, daie, mahasiswa, rakyat Malaysia, umat Nabi Muhammad s.a.w. dan hamba Allah Taala. (ini sangat sikit kalau nak dibandingkan pemimpin hebat lain)

Tapi ini semua sebenarnya bukan penghalang untuk berbicara dalam blog. Manusia suka bagi alasan. Dan selagi kesalahan itu boleh dituju pada orang lain, kita akan tunding jari pada yang penyumbang kecil pada masalah, bukan yang besar,bukan diri sendiri.

Jujur saya rindu pada kenangan bersama khususnya pada sahabat 037 dan Sdar keseluruhan nya.

Tapi sukar untuk saya konsisten.

Macam rasa apa ustaz-ustaz kita berbuih mulut bagi nasihat dulu masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Dalam situasi yang penuh mencabar, iman saya yang memang nipis ini bagai terkoyak rabak.

Saya tak sempurna, tapi ada niat menuju kesempurnaan. Dalam menuju itu hidup macam roda, kejap naik mencanak, kejap jatuh ke bawah terhina. Tapi ini tidak buat saya putus asa, mencari erti hidup sebenar.

Sebagai mahasiswa, banyak benda telah membuka mata, telinga, pemikiran dan pandangan saya. Lebih toleransi pada keadaan, mudah tenggelam dalam suasana, ingin sering tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh orang lain, ego,ingin reformasi dan revolusi segera, membudayakan hidup ingin mudah dan cepat siap, ke arah malas, pengkritik setia tapi tiada solusi..

Tak terkata perubahannya. Benarlah, pengalaman juga adalah pelajaran dalam universiti kehidupan ini. Banyak karektor manusia sudah dikenali.

Saya tidak reti untuk hubungi rakan lama, kecuali ada ketika menyambut apa-apa perayaan, baru sms. Saya juga tak reti untuk bersosial dalam MySpace, Friendster tapi baru-baru ini desakan datang dari rakan disini suruh buat Facebook. Ya, saya ada Facebook, kalau sahabat senang "tambahlah" saya. Mudah tahu perkembangan diri sahabat, selain melalui blog. Cari Farid Zuhri.( Baca Al-Islam yang terbaru, pemilik Facebook,Mark Zuckerberg, adalah orang yahudi yang menyumbang dana pada tentera Israel untuk bunuh saudara kita di Palestin, macamana ni?,Facebook haram?)

Saya juga ada blog lain, zuhri90.blogspot (blog ini sebenarnya untuk dijauhkan politik, tapi apakan daya, saya dan politik tidak boleh dipisahkan).

Insya'Allah, saya akan meneruskan pengajian dalam sarjana muda undang-undang, di UiTM shah alam hujung disember ini. (sedang menunggu surat tawaran).

Banyak lagi nak dicoret disini, tak puas kalau tak kupas isu semasa. Blog ini lama tak bersuara, tapi masih hidup lagi.

Ya, masih hidup lagi.

Selasa, 19 Mei 2009

Terima Kasih Cikgu!

Saya berharap tidak terlewat lagi untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik yang banyak mengorbankan masa, tenaga dan harta dalam mendidik anak bangsa mengenal dunia. Guru yang sebenar bukan sahaja mendidik apa yang ditugaskan, tetapi mengajar muridnya erti kehidupan yang sebenar, realiti yang mencabar serta bersedia menghadapi masa depan. Semoga semua warga pendidik sedar akan tanggungjawab yang digalas serta yakin akan mendapat hikmah dalam perjalanan kehidupan sebagai seorang guru, Insya'llah. Terima Kasih Cikgu!


Guru O Guru*


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

*Hadiah saya buat semua guru, yang pernah mengajar saya atau tidak.


Khamis, 7 Mei 2009

Kempen Sejuta Poskad Untuk Menteri Pelajaran

KUALA LUMPUR: Kalangan sasterawan dan budayawan mahu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi mengemukakan pandangan mereka mengenai penolakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, berkata kelompok sasterawan negara berharap pertemuan yang akan diadakan dengan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran kelak tidak sekadar hiasan seperti sebelum ini.
"Sasterawan dan budayawan sudah banyak kali menghulurkan tangan untuk berbincang dengan kerajaan mengenai PPSMI, tetapi tiada jalan penyelesaian kerana dasar terbabit masih diteruskan sehingga kini," katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Hadir sama Sasterawan Negara Prof Dr Muhammad Salleh; Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP); Datuk Dr Hassan Ahmad; Presiden Pena, Datuk Baharudin Zainal atau Baha Zain dan Setiausaha Agungnya, Syed Mohd Zakir Syed Othman.
Semalam, Kabinet mengarahkan Kementerian Pelajaran mengkaji semula pelaksanaan PPSMI berikutan tidak berpuas hati dengan hasil laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI yang dibentangkan baru-baru ini.
Muhyiddin berkata, Kabinet berpendapat laporan daripada persidangan terbabit bukan penanda aras yang tepat untuk menilai kewajaran pelaksanaan dasar berkenaan, sebaliknya memerlukan maklumat lengkap yang diperoleh dari semua sudut.
Beliau turut mengalu-alukan pihak yang hendak mengemukakan pandangan, menyerahkan memorandum atau mengadakan pertemuan yang mengambil kira kepentingan bahasa kebangsaan, selain bahasa Inggeris yang menjadi bahasa penting di dunia.
Sementara itu, Sasterawan Negara Muhammad berkata, ruang perbincangan masih terbuka dan mengharapkan Menteri Pelajaran dan Timbalan Menterinya yang baru dapat memikirkan pendirian mereka kembali dalam isu PPSMI.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha GMP, Hasni Abas, berkata pihaknya akan melancarkan kempen Sejuta Poskad Untuk Menteri Pelajaran di Pagoh, Johor, pada 15 Mei ini, dengan mengedarkannya kepada orang ramai untuk dihantar kepada menteri terbabit.
Sumber dari blog abang faisal tehrani

Khamis, 30 April 2009

Salam Benua

I

MEREKA memisahkan kita
pasport visa wilayah segala tempoh nama
mereka merompak kita dengan undang-undangnya
peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya
kita dipaksa memilih salah satu
dan kita mesti memilihnya
tiada jalan lain

II

Telah saudara pilih senapang dan peluru
banyak pemimpin memilih dollarnya
untuk ini saudara membasahi baju
rumput-merah sungai-merah
tangis anak-anak
darah rakyat tertindas

III

Saudara memerah kaktus melumat batu
menjadikannya minuman makanan
gadis-gadis bekerja debu pasir dandanannya
anak-anak kecil menyandang senapang
saudara menghitamkan langit menyelubungi
saluran minyak
setengahnya menyanyi di penjara
untuk pembebasan Palestin

IV

Kami bertatih di sawah semakin kering
petani-petani mulai menebang hutan dara
permulaan kecil pada ketenangan segumpul awam
ketenangan yang di belakangnya memangkas kami
yang sedikit ini sedang belajar
dari tiap pengalaman saudara
dan pengalaman sendiri
kami memampatkan gerhana bulan mei
pada tujuan tempat
nusantara ini

V

Salam
tanpa visa
pasport
golf
warna
kemanusiaan rakyat
seluruh benua

Usman Awang
1970

*Dipetik dari Blog Dunia Penyair

Sajak ini secara ringkasnya, yang berunsur kemanusiaan ini sering berkumandang di radio IKIM.FM, membawa pembacanya berfikir sejenak tentang kezaliman pihak yang mendakwa dirinya polis dunia. Selain mempunyai kuasa dalam pencaturan ekonomi, mereka juga mengugut pihak lain supaya mengikut kata-kata dan membenarkannya, dan pihak yang dianiya tidak dapat membuat pilihan. Penyajak juga secara terang mengungkap penderitaan rakyat Palestin yang ditindas dan dizalimi oleh tentera Israel, yang mendapat sokongan kuat Amerika Syarikat. Penyajak menunjukan rasa simpati dengan mengatakan secara maksudnya, walaupun kami di nusantara, kami memahami penderitaan yang dialami oleh saudara kami di Palestin. Dan pada akhirnya penyajak menyampaikan salam keamanan pada semua, dengan tiada pemisah yang menghalang.Sajak ini amat menyentuh jiwa saya, dalam melihat kekejaman di Palestin masih belum reda.Ini menunjukan keangkuhan kuasa besar dari melihat penderitaan rakyat Palestin sebagai satu perkara biasa. Usah kita lupa saudara kita di Palestin dan berdoalah kepada Allah agar kita berjaya, mengembalikan tanah air rakyat Palestin, juga berjaya di dunia dan akhirat.

Khamis, 9 April 2009

Suara Rakyat

YB Manikumar pilihan rakyat di N25

Rakyat telah bersuara. Bukit Gantang dan Bukit Selambau menjadi bukti sebahagian besar rakyat di sana menolak pemerintahan UMNO/BN yang tidak peka dan angkuh dalam pentadbiran. Ini juga adalah akibat melukakan hati para pejuang dan pencinta bahasa dalam desakan mereka SUPAYA MEMANSUHKAN PPSMI. Nampaknya gesaan ini tidak diendahkan. Selepas pertukaran kempimpian dari Tun Abdullah kepada Datuk Seri Najib, perubahan besar dalam UMNO ( seperti dijangka,lulusan dari oxford itu diangkat menjadi ketua pemuda), kemasukan Tun Mahathir dalam UMNO semula ( pecetus kepada dasar yang membuatkan anak-anak bangsa rugi) dan segala projek "mee segera" di P.59 dan N.25, UMNO/BN masih gagal menguasai hati dan jiwa rakyat dan segala peristiwa yang berlaku sudah rakyat terjemahkan dalam peti undi.



Datuk Seri Nizar dan isteri meraikan kemenangan di P59



Keadaan ini terus berlaku sehinnga Pilihan Raya Umum akan datang sekiranya UMNO/BN masih gagal membetulkan banyak perkara dalam sistem pemerintahan, bersihkan kerajaan dari rasuah dan menjiwai dan memahami hati rakyat yang mahukan pemerintahan yanng berdasarkan prinsip keadilan dan kebenaran. Tamparan hebat ini perlu UMNO/BN sedari bahawa mereka ditolak oleh rakyat secara perlahan-lahan dan tiba masa mereka akan ditumbangkan. Ini tidak mustahil. PakatanRakyat akan terus diangkat kerana menyokong para pejuang dan pecinta bahasa dalam perjuangan mereka supaya dasar PPSMI dihapuskan.

Selasa, 31 Mac 2009

Hidup Bersama

*Sajak ini khas ditujukan kepada sahabat yang sedang berjuang di medan masing-masing.Semoga sentiasa istiqomah dalam perjuangan. Marilah kita menanti hikmah yang pasti tiba memberi seribu makna erti pengorbanan dalam perjalanan hidup ini.

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tunggak dan menara kebahagian.

~ A Samad Said~

Ahad, 22 Mac 2009

Masih Relevan


Kecelaruan dan ketidakstabilan politik dalam negara kita ini mencapai tahap yang memualkan. Pihak kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama dalam menenangkan keadaan, lebih-lebih dalam keadaan ekonomi tidak stabil ini. Namun isu PPSMI tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Sejak meletusnya perasaan pejuang dan pencinta bahasa 7 mac lepas di Masjid Negara dalam penentangan mereka tentang dasar PPSMI, banyak pihak yang melihat perkara ini perlu di beri perhatian yang serius. Isu PPSMI sebenarnya melangkaui fahaman politik, kerana tidak mungkin mereka yang telah lama memperjuangkan bahasa mempunyai agenda tertentu kecuali niat ikhlas memperjuangkan bahasa itu sendiri. Tindakan mereka disalaherti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai dipengaruhi oleh parti politik tertentu. Ya, kita akui memang ada pemimpin parti politik tertentu terlibat sama dalam perhimpunan tersebut, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana mereka sekurang-kurangnya menunjukkan keperihatinan mereka tentang bahasa Melayu. Dimanakah pemimpin yang sering melaungkan dengan bersemangat memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam semasa perhimpunan tersebut?



Pemimpin negara perlu sedar yang mereka dipilih oleh rakyat.Kini, rakyat menunjukkan mereka tidak senang dengan dasar PPSMI yang terang-terangan tidak menguntungkan anak bangsa dari semua kaum termasuk dari kaum cina. Jika mereka ingin terus disokong oleh rakyat jelata negara ini, perlulah mengambil langkah drastik dengan memansuhkan dasar tersebut. Lihat sahaja mereka yang menyertai perhimpunan tersebut, jumlahnya mencecah ratusan ribu! (seperti biasa media arus perdana mengurangkan jumlahnya) Mereka hadir dengan tiada paksaan sesiapa,hanya merasa perlu menyelamatkan bangsa dan bahasa mereka dari terus ketinggalan di arus kemajuan dunia.





Banyak kajian telah dilakukan oleh ramai profesor di universiti, yang menunjukkan dasar PPSMI tidak memberi faedah yang memberasangkan, malah merugikan negara kelak jika tidak dihentikan dasar ini. Saya bukanlah membenci bahasa Inggeris,malah menyokong jika dipertingkatkan lagi kefahaman bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Namun, oleh kerana pengajaran bahasa Inggeris itu tidak efektif, mungkin oleh sebab beberapa faktor yang tidak jelas, menjadikan pelajar kita mundur dalam penggunaan bahasa Inggeris. Inilah perkara yang perlu diselesaikan, bukannya menambah masalah baru. Oleh itu, perjuangan GMPPSMI masih relevan selagi dasar PPSMI tidak dimansuhkan.




Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini - Datuk A. Samad Said

Ahad, 8 Mac 2009

Memorandum Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.

MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:

1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius. Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)? Tidak mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun! Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu. Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.

6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.

Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi. Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri. Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu. Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai “otak” atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

HASIL KAJIAN

11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar. Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.

APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu ‘sudah berjaya’ atau ‘akan berjaya’, para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C). Kalau cara yang ‘mengelat’ ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.

GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan ‘gila bahasa Melayu’. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, ‘pendapat’ atau ‘teori’ yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu. Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (‘foreign language’) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V. Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.

Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.

Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Patik sekalian yang berdatang sembah:

10 Rabi’ul Awal 1430 bersamaan 7 Mac 2009.

*Dipetik dari blog Abang Faisal Tehrani

Khamis, 5 Mac 2009

Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat

- A. Samad Said -

Khamis, 26 Februari 2009

Menumbang Kezaliman






" Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa."



Perjuangan orang dahulu dalam menegakkan bahasa dan budaya sungguh kuat dan jitu.Kini, semangat itu telah berpindah kepada generasi kini untuk terus mengangkat martabat bahasa bangsa di tempat yang tinggi, sebagai bahasa kebangsaan dalam erti kata yang sebenar. Telah tiba masa untuk kita menyahut seruan para pejuang dan pencinta bahasa untuk terus mara meruntuhkan pengkhianat bahasa Melayu. Bukankah Allah s.w.t. telah menurunkan tiap-tiap bangsa itu bahasanya sendiri, sebagai cara berkomunikasi antara insan dan untuk memahami sesama kita.



Usah kita panjangkan alasan untuk tidak ikut serta dalam penetangan ini. Telah banyak bukti menunjukan dasar PPSMI tidak menguntungkan semua, terutama saudara kita diluar bandar. 7 Mac ini adalah tarikh untuk menunjukan rasa kecewa kita dengan dasar PPSMi ini. Yang dekat, digalakkan menyertai penetangan tersebut, untuk yang jauh, kita doakan agar perhimpunan rasaksa itu dapat menunbangkan dasar zalim itu!



Sasterawan Negara, Datuk A. Samad. Said berkata:
"Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai bahasa Melayu yang saya perjuangkan, tidak kira di pentas politik mana sekali pun. Umur saya sudah 76 tahun dan sudah sampai masanya saya memperjuangkan bahasa ibunda saya sebelum hilangnya bahasa Melayu di muka bumi."






Jumaat, 20 Februari 2009

Tugas

Bulan jadi saksi,
kita sedia memikul janji,
mendaki ke puncak tinggi,
menyelam hingga dasarnya,
menghadap musuh paling setia,
dan tangan erat mengenggam,
tugas dengan tegas,
amanah dan tanggungjawab,
hanya mengharap keredhaanNya,
pada Allah kita berserah,
untuk Allah kita berjuang,
dengan Allah kita berlindung.

Khamis, 5 Februari 2009

Keranda 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah Sebelum lidahmu jadi bisu

- Usman Awang -

Selasa, 3 Februari 2009

Ayuh Selamatkan Bahasa Melayu!



Perkara 152, perenggan 1, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan ditulis dalam bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen". Bahasa jiwa bangsa.Mati bahasa, runtuhlah bangsa.Amat jelas sekali bahawa nyawa bahasa Melayu terancam oleh dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). Dasar yang berjalan sejak 2003 telah mencabar kedudukan bahasa rasmi negara dan bahasa rakyat jelata negara.
Dasar ini telah menyebabkan para pelajar Melayu khususnya di luar bandar tercicir dalam pembelajaran mereka untuk subjek berkaitan sains dan matematik, apabila bahasa Inggeris digunakan. Sebelum dasar ini diperkenalkan, pencapaian akademik para pelajar Melayu luar bandar meninigkat dan mengembang tiap tahun.Namun, dasar ini telah memberi kesan yang buruk terhadap mereka dalam bidang pembelajaran dan seterusnya sukar untuk meneruskan pembelajaran mereka.Hal ini diakui sendiri oleh bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hassan Ahmad pada ahad lepas semasa melancarkan kempen mansuhkan PPSMI di Kuala Lumpur.




Tujuan PPSMI antaranya adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar dalam menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk subjek sains dan matematik, juga sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu moden. Alasan ini dikuatkan lagi dengan kebanyakan universiti tempatan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran, apatah lagi di luar negara.Namun, adakah graduan yang tidak sempat menjadi 'mangsa' dasar ini kurang kualitinya? Bukankah ramai pakar yang dilahirkan dalam bidang sains dan matematik tidak mengikuti pun dasar itu,malah menguasai bahasa Inggeris lebih baik.
Saya tidak rasakan isu ini sebagai isu politik, kerana yang membantah PPSMI adalah sebahagian besar rakyat yang berbilang kaum dan agama, serta berbeza fahaman politik. Saya menyertai pejuang dan pencinta bahasa yang lain dalam membantah penerusan penggunaannya pada masa akan datang. Saya juga sebagai 'mangsa' dasar ini menyeru saudara yang lain menggunakan sepenuhnya saluran yang ada untuk membantah PPSMI sehingga dimansuhkan dasar tersebut.
Selamatkan Bahasa Melayu!

Sabtu, 31 Januari 2009

Hutan Batu

Di hutan batu ini,
manusia sebuas binatang,
rakus menimba harta,
menghirup nafsu,
memakan segala kotor debu,
meliar tajam pandangan,
menjuarai segala pendebatan,
dan hilang arah tujuan.

Belantara bandar ini,
penuh dengan kepincangan,
sifat dan sikap insan,
tiada nilainya,
seburuk suratkhabar lama,
tin kosong dan plastik,
yang dikutip untuk kitar semula.


Merbok
2009

Berani Kerana Benar

"Kamu membunuh orang,"Kata-kata bagai peluru itu ditujukan khas kepada Presiden israel,Shimon Peres oleh Perdana Menteri Turki ,Recep Tayyip Edrogan yang telah menyebabkan beliau dihalang untuk terus berucap di Forum Ekonomi Dunia yang dihadiri ratusan politikus dan ahli korporat elit dari seluruh dunia.

Sebelum itu, beliau dengan kecewa berkata"Saya berasa sangat sedih kerana hadirin bertepuk tangan selepas tuan (Peres) berucap kerana ramai penduduk (Palestin) telah terbunuh," Peres dengan bongkak mempertahankan kekejaman tentera yahudi laknatullah itu yang telah menyebabkan lebih 1300 orang warga Gaza terkorban dan ribuan yang lain menderita dan terseksa dengan alasan sebagai balasan ribuan mortar dan roket yang dilancarkan oleh Hamas keatas wilayah Israel.


Setakat ini jumlah yang terkorban di pihak israel hanya 10 orang!








Edrogan terus keluar dari forum tersebut dan berikrar tidak akan menyertainya lagi.Beliau disambut sebagai wira oleh rakyat Turki yang cukup prihatin dengan kesengsaraan yang dihadapi oleh penduduk Gaza.



Ini bukanlah kali pertama israel dikutuk oleh pemimpin dunia di sebuah persidangan antarabangsa, pernah juga berlaku pada tahun 2003,dimana Tun Dr. Mahathir dengan lantang mengatakan Israel adalah proksi kejahatan dunia.Kata-kata Tun itu telah dikecam hebat oleh Presiden Amerika ketika itu, George W. Bush dan juga beberapa pemimpin pro israel yang lain.

Tahniah kepada Edrogan pada keberanian yang ditonjolkan walaupun tidak memberi kesan yang besar kepada israel terkutuk itu namun ianya telah menyedarkan masyarakat dunia untuk terus bersimpati dengan nasib penduduk Gaza dan menekan israel supaya menghentikan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan itu.Sekurang-kurangnya beliau telah menyerang israel secara lisan dan terbuka.

Sekadar bertanya, ada lagikah pemimpin Islam seberani Edrogan dan Mahathir?

Khamis, 29 Januari 2009

Langkah Pertama..

Alhamdulilah, segala puji bagi Allah yang masih memberi nikmat kepada saya untuk berbicara di ruang maya yang luas ini. Sebernanya sudah lama saya merencana untuk membuat blog, apatah lagi dunia blog telah mencetus satu fenomena baru dalam alam maya untuk menyampaikan luahan, pandangan, kutukan dan sebagainya.

Saya mengambil masa agak lama kerana kurang yakin pada awalnya, apakah blog ini dapat memberi impak pada masyarakat.Setelah berbagai kejadian yang memberi dampak besar kepada masyarakat, seperti tsunami politik, sedikit sebanyak meyakinkan saya bahawa blog sebagai media alternatif yang terlaris mampu memberi kesan kepada seluruh dunia.

Oleh kerana minat saya pada bidang sastera,khususnya puisi, saya akan cuba berkarya sebaik mungkin (walaupun tidaklah sehebat mana) dan memaparkan karya-karya puisi oleh penyair lagenda dari dalam dan luar negeri.Juga akan dimuatkan info-info berguna dan semasa.

Dan saya berharap langkah pertama ini akan terus menguatkan langkah-langkah saya seterusnya, iaitu mengenengahkan isu-isu dalam masyarakat(khususnya mahasiswa) dalam menuju baldatun tayibbah wa rabbun ghaffur.Itulah harapan kita semua dan semoga Allah memberi saya petunjuk dan ilmuNya selagi jasad hina ini bernafas lagi.Wallahualam.