Selasa, 3 Februari 2009

Ayuh Selamatkan Bahasa Melayu!



Perkara 152, perenggan 1, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan ditulis dalam bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen". Bahasa jiwa bangsa.Mati bahasa, runtuhlah bangsa.Amat jelas sekali bahawa nyawa bahasa Melayu terancam oleh dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). Dasar yang berjalan sejak 2003 telah mencabar kedudukan bahasa rasmi negara dan bahasa rakyat jelata negara.
Dasar ini telah menyebabkan para pelajar Melayu khususnya di luar bandar tercicir dalam pembelajaran mereka untuk subjek berkaitan sains dan matematik, apabila bahasa Inggeris digunakan. Sebelum dasar ini diperkenalkan, pencapaian akademik para pelajar Melayu luar bandar meninigkat dan mengembang tiap tahun.Namun, dasar ini telah memberi kesan yang buruk terhadap mereka dalam bidang pembelajaran dan seterusnya sukar untuk meneruskan pembelajaran mereka.Hal ini diakui sendiri oleh bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hassan Ahmad pada ahad lepas semasa melancarkan kempen mansuhkan PPSMI di Kuala Lumpur.




Tujuan PPSMI antaranya adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar dalam menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk subjek sains dan matematik, juga sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu moden. Alasan ini dikuatkan lagi dengan kebanyakan universiti tempatan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran, apatah lagi di luar negara.Namun, adakah graduan yang tidak sempat menjadi 'mangsa' dasar ini kurang kualitinya? Bukankah ramai pakar yang dilahirkan dalam bidang sains dan matematik tidak mengikuti pun dasar itu,malah menguasai bahasa Inggeris lebih baik.
Saya tidak rasakan isu ini sebagai isu politik, kerana yang membantah PPSMI adalah sebahagian besar rakyat yang berbilang kaum dan agama, serta berbeza fahaman politik. Saya menyertai pejuang dan pencinta bahasa yang lain dalam membantah penerusan penggunaannya pada masa akan datang. Saya juga sebagai 'mangsa' dasar ini menyeru saudara yang lain menggunakan sepenuhnya saluran yang ada untuk membantah PPSMI sehingga dimansuhkan dasar tersebut.
Selamatkan Bahasa Melayu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan