Rabu, 25 November 2009

Hidup lagi..

Assalamualaikum..

Diam bukan bererti sudah sisihkan diri, kecewa dengan hidup atau mati. Diam adalah menyimpan kekuatan dalam senyap, membantah cara paling terhormat dan mendidik diri agar menjadi penyabar.

Saya telah melalui fasa yang agak sibuk dalam hidup, setakat ini. Kesibukan menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar, anak, abang, ketua persatuan, exco persatuan, daie, mahasiswa, rakyat Malaysia, umat Nabi Muhammad s.a.w. dan hamba Allah Taala. (ini sangat sikit kalau nak dibandingkan pemimpin hebat lain)

Tapi ini semua sebenarnya bukan penghalang untuk berbicara dalam blog. Manusia suka bagi alasan. Dan selagi kesalahan itu boleh dituju pada orang lain, kita akan tunding jari pada yang penyumbang kecil pada masalah, bukan yang besar,bukan diri sendiri.

Jujur saya rindu pada kenangan bersama khususnya pada sahabat 037 dan Sdar keseluruhan nya.

Tapi sukar untuk saya konsisten.

Macam rasa apa ustaz-ustaz kita berbuih mulut bagi nasihat dulu masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Dalam situasi yang penuh mencabar, iman saya yang memang nipis ini bagai terkoyak rabak.

Saya tak sempurna, tapi ada niat menuju kesempurnaan. Dalam menuju itu hidup macam roda, kejap naik mencanak, kejap jatuh ke bawah terhina. Tapi ini tidak buat saya putus asa, mencari erti hidup sebenar.

Sebagai mahasiswa, banyak benda telah membuka mata, telinga, pemikiran dan pandangan saya. Lebih toleransi pada keadaan, mudah tenggelam dalam suasana, ingin sering tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh orang lain, ego,ingin reformasi dan revolusi segera, membudayakan hidup ingin mudah dan cepat siap, ke arah malas, pengkritik setia tapi tiada solusi..

Tak terkata perubahannya. Benarlah, pengalaman juga adalah pelajaran dalam universiti kehidupan ini. Banyak karektor manusia sudah dikenali.

Saya tidak reti untuk hubungi rakan lama, kecuali ada ketika menyambut apa-apa perayaan, baru sms. Saya juga tak reti untuk bersosial dalam MySpace, Friendster tapi baru-baru ini desakan datang dari rakan disini suruh buat Facebook. Ya, saya ada Facebook, kalau sahabat senang "tambahlah" saya. Mudah tahu perkembangan diri sahabat, selain melalui blog. Cari Farid Zuhri.( Baca Al-Islam yang terbaru, pemilik Facebook,Mark Zuckerberg, adalah orang yahudi yang menyumbang dana pada tentera Israel untuk bunuh saudara kita di Palestin, macamana ni?,Facebook haram?)

Saya juga ada blog lain, zuhri90.blogspot (blog ini sebenarnya untuk dijauhkan politik, tapi apakan daya, saya dan politik tidak boleh dipisahkan).

Insya'Allah, saya akan meneruskan pengajian dalam sarjana muda undang-undang, di UiTM shah alam hujung disember ini. (sedang menunggu surat tawaran).

Banyak lagi nak dicoret disini, tak puas kalau tak kupas isu semasa. Blog ini lama tak bersuara, tapi masih hidup lagi.

Ya, masih hidup lagi.

Selasa, 19 Mei 2009

Terima Kasih Cikgu!

Saya berharap tidak terlewat lagi untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik yang banyak mengorbankan masa, tenaga dan harta dalam mendidik anak bangsa mengenal dunia. Guru yang sebenar bukan sahaja mendidik apa yang ditugaskan, tetapi mengajar muridnya erti kehidupan yang sebenar, realiti yang mencabar serta bersedia menghadapi masa depan. Semoga semua warga pendidik sedar akan tanggungjawab yang digalas serta yakin akan mendapat hikmah dalam perjalanan kehidupan sebagai seorang guru, Insya'llah. Terima Kasih Cikgu!


Guru O Guru*


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

*Hadiah saya buat semua guru, yang pernah mengajar saya atau tidak.


Khamis, 7 Mei 2009

Kempen Sejuta Poskad Untuk Menteri Pelajaran

KUALA LUMPUR: Kalangan sasterawan dan budayawan mahu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi mengemukakan pandangan mereka mengenai penolakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, berkata kelompok sasterawan negara berharap pertemuan yang akan diadakan dengan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran kelak tidak sekadar hiasan seperti sebelum ini.
"Sasterawan dan budayawan sudah banyak kali menghulurkan tangan untuk berbincang dengan kerajaan mengenai PPSMI, tetapi tiada jalan penyelesaian kerana dasar terbabit masih diteruskan sehingga kini," katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Hadir sama Sasterawan Negara Prof Dr Muhammad Salleh; Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP); Datuk Dr Hassan Ahmad; Presiden Pena, Datuk Baharudin Zainal atau Baha Zain dan Setiausaha Agungnya, Syed Mohd Zakir Syed Othman.
Semalam, Kabinet mengarahkan Kementerian Pelajaran mengkaji semula pelaksanaan PPSMI berikutan tidak berpuas hati dengan hasil laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI yang dibentangkan baru-baru ini.
Muhyiddin berkata, Kabinet berpendapat laporan daripada persidangan terbabit bukan penanda aras yang tepat untuk menilai kewajaran pelaksanaan dasar berkenaan, sebaliknya memerlukan maklumat lengkap yang diperoleh dari semua sudut.
Beliau turut mengalu-alukan pihak yang hendak mengemukakan pandangan, menyerahkan memorandum atau mengadakan pertemuan yang mengambil kira kepentingan bahasa kebangsaan, selain bahasa Inggeris yang menjadi bahasa penting di dunia.
Sementara itu, Sasterawan Negara Muhammad berkata, ruang perbincangan masih terbuka dan mengharapkan Menteri Pelajaran dan Timbalan Menterinya yang baru dapat memikirkan pendirian mereka kembali dalam isu PPSMI.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha GMP, Hasni Abas, berkata pihaknya akan melancarkan kempen Sejuta Poskad Untuk Menteri Pelajaran di Pagoh, Johor, pada 15 Mei ini, dengan mengedarkannya kepada orang ramai untuk dihantar kepada menteri terbabit.
Sumber dari blog abang faisal tehrani

Khamis, 30 April 2009

Salam Benua

I

MEREKA memisahkan kita
pasport visa wilayah segala tempoh nama
mereka merompak kita dengan undang-undangnya
peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya
kita dipaksa memilih salah satu
dan kita mesti memilihnya
tiada jalan lain

II

Telah saudara pilih senapang dan peluru
banyak pemimpin memilih dollarnya
untuk ini saudara membasahi baju
rumput-merah sungai-merah
tangis anak-anak
darah rakyat tertindas

III

Saudara memerah kaktus melumat batu
menjadikannya minuman makanan
gadis-gadis bekerja debu pasir dandanannya
anak-anak kecil menyandang senapang
saudara menghitamkan langit menyelubungi
saluran minyak
setengahnya menyanyi di penjara
untuk pembebasan Palestin

IV

Kami bertatih di sawah semakin kering
petani-petani mulai menebang hutan dara
permulaan kecil pada ketenangan segumpul awam
ketenangan yang di belakangnya memangkas kami
yang sedikit ini sedang belajar
dari tiap pengalaman saudara
dan pengalaman sendiri
kami memampatkan gerhana bulan mei
pada tujuan tempat
nusantara ini

V

Salam
tanpa visa
pasport
golf
warna
kemanusiaan rakyat
seluruh benua

Usman Awang
1970

*Dipetik dari Blog Dunia Penyair

Sajak ini secara ringkasnya, yang berunsur kemanusiaan ini sering berkumandang di radio IKIM.FM, membawa pembacanya berfikir sejenak tentang kezaliman pihak yang mendakwa dirinya polis dunia. Selain mempunyai kuasa dalam pencaturan ekonomi, mereka juga mengugut pihak lain supaya mengikut kata-kata dan membenarkannya, dan pihak yang dianiya tidak dapat membuat pilihan. Penyajak juga secara terang mengungkap penderitaan rakyat Palestin yang ditindas dan dizalimi oleh tentera Israel, yang mendapat sokongan kuat Amerika Syarikat. Penyajak menunjukan rasa simpati dengan mengatakan secara maksudnya, walaupun kami di nusantara, kami memahami penderitaan yang dialami oleh saudara kami di Palestin. Dan pada akhirnya penyajak menyampaikan salam keamanan pada semua, dengan tiada pemisah yang menghalang.Sajak ini amat menyentuh jiwa saya, dalam melihat kekejaman di Palestin masih belum reda.Ini menunjukan keangkuhan kuasa besar dari melihat penderitaan rakyat Palestin sebagai satu perkara biasa. Usah kita lupa saudara kita di Palestin dan berdoalah kepada Allah agar kita berjaya, mengembalikan tanah air rakyat Palestin, juga berjaya di dunia dan akhirat.

Khamis, 9 April 2009

Suara Rakyat

YB Manikumar pilihan rakyat di N25

Rakyat telah bersuara. Bukit Gantang dan Bukit Selambau menjadi bukti sebahagian besar rakyat di sana menolak pemerintahan UMNO/BN yang tidak peka dan angkuh dalam pentadbiran. Ini juga adalah akibat melukakan hati para pejuang dan pencinta bahasa dalam desakan mereka SUPAYA MEMANSUHKAN PPSMI. Nampaknya gesaan ini tidak diendahkan. Selepas pertukaran kempimpian dari Tun Abdullah kepada Datuk Seri Najib, perubahan besar dalam UMNO ( seperti dijangka,lulusan dari oxford itu diangkat menjadi ketua pemuda), kemasukan Tun Mahathir dalam UMNO semula ( pecetus kepada dasar yang membuatkan anak-anak bangsa rugi) dan segala projek "mee segera" di P.59 dan N.25, UMNO/BN masih gagal menguasai hati dan jiwa rakyat dan segala peristiwa yang berlaku sudah rakyat terjemahkan dalam peti undi.



Datuk Seri Nizar dan isteri meraikan kemenangan di P59



Keadaan ini terus berlaku sehinnga Pilihan Raya Umum akan datang sekiranya UMNO/BN masih gagal membetulkan banyak perkara dalam sistem pemerintahan, bersihkan kerajaan dari rasuah dan menjiwai dan memahami hati rakyat yang mahukan pemerintahan yanng berdasarkan prinsip keadilan dan kebenaran. Tamparan hebat ini perlu UMNO/BN sedari bahawa mereka ditolak oleh rakyat secara perlahan-lahan dan tiba masa mereka akan ditumbangkan. Ini tidak mustahil. PakatanRakyat akan terus diangkat kerana menyokong para pejuang dan pecinta bahasa dalam perjuangan mereka supaya dasar PPSMI dihapuskan.

Selasa, 31 Mac 2009

Hidup Bersama

*Sajak ini khas ditujukan kepada sahabat yang sedang berjuang di medan masing-masing.Semoga sentiasa istiqomah dalam perjuangan. Marilah kita menanti hikmah yang pasti tiba memberi seribu makna erti pengorbanan dalam perjalanan hidup ini.

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tunggak dan menara kebahagian.

~ A Samad Said~

Ahad, 22 Mac 2009

Masih Relevan


Kecelaruan dan ketidakstabilan politik dalam negara kita ini mencapai tahap yang memualkan. Pihak kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama dalam menenangkan keadaan, lebih-lebih dalam keadaan ekonomi tidak stabil ini. Namun isu PPSMI tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Sejak meletusnya perasaan pejuang dan pencinta bahasa 7 mac lepas di Masjid Negara dalam penentangan mereka tentang dasar PPSMI, banyak pihak yang melihat perkara ini perlu di beri perhatian yang serius. Isu PPSMI sebenarnya melangkaui fahaman politik, kerana tidak mungkin mereka yang telah lama memperjuangkan bahasa mempunyai agenda tertentu kecuali niat ikhlas memperjuangkan bahasa itu sendiri. Tindakan mereka disalaherti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai dipengaruhi oleh parti politik tertentu. Ya, kita akui memang ada pemimpin parti politik tertentu terlibat sama dalam perhimpunan tersebut, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana mereka sekurang-kurangnya menunjukkan keperihatinan mereka tentang bahasa Melayu. Dimanakah pemimpin yang sering melaungkan dengan bersemangat memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam semasa perhimpunan tersebut?



Pemimpin negara perlu sedar yang mereka dipilih oleh rakyat.Kini, rakyat menunjukkan mereka tidak senang dengan dasar PPSMI yang terang-terangan tidak menguntungkan anak bangsa dari semua kaum termasuk dari kaum cina. Jika mereka ingin terus disokong oleh rakyat jelata negara ini, perlulah mengambil langkah drastik dengan memansuhkan dasar tersebut. Lihat sahaja mereka yang menyertai perhimpunan tersebut, jumlahnya mencecah ratusan ribu! (seperti biasa media arus perdana mengurangkan jumlahnya) Mereka hadir dengan tiada paksaan sesiapa,hanya merasa perlu menyelamatkan bangsa dan bahasa mereka dari terus ketinggalan di arus kemajuan dunia.





Banyak kajian telah dilakukan oleh ramai profesor di universiti, yang menunjukkan dasar PPSMI tidak memberi faedah yang memberasangkan, malah merugikan negara kelak jika tidak dihentikan dasar ini. Saya bukanlah membenci bahasa Inggeris,malah menyokong jika dipertingkatkan lagi kefahaman bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Namun, oleh kerana pengajaran bahasa Inggeris itu tidak efektif, mungkin oleh sebab beberapa faktor yang tidak jelas, menjadikan pelajar kita mundur dalam penggunaan bahasa Inggeris. Inilah perkara yang perlu diselesaikan, bukannya menambah masalah baru. Oleh itu, perjuangan GMPPSMI masih relevan selagi dasar PPSMI tidak dimansuhkan.




Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini - Datuk A. Samad Said