Ahad, 22 Mac 2009

Masih Relevan


Kecelaruan dan ketidakstabilan politik dalam negara kita ini mencapai tahap yang memualkan. Pihak kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama dalam menenangkan keadaan, lebih-lebih dalam keadaan ekonomi tidak stabil ini. Namun isu PPSMI tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Sejak meletusnya perasaan pejuang dan pencinta bahasa 7 mac lepas di Masjid Negara dalam penentangan mereka tentang dasar PPSMI, banyak pihak yang melihat perkara ini perlu di beri perhatian yang serius. Isu PPSMI sebenarnya melangkaui fahaman politik, kerana tidak mungkin mereka yang telah lama memperjuangkan bahasa mempunyai agenda tertentu kecuali niat ikhlas memperjuangkan bahasa itu sendiri. Tindakan mereka disalaherti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai dipengaruhi oleh parti politik tertentu. Ya, kita akui memang ada pemimpin parti politik tertentu terlibat sama dalam perhimpunan tersebut, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana mereka sekurang-kurangnya menunjukkan keperihatinan mereka tentang bahasa Melayu. Dimanakah pemimpin yang sering melaungkan dengan bersemangat memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam semasa perhimpunan tersebut?



Pemimpin negara perlu sedar yang mereka dipilih oleh rakyat.Kini, rakyat menunjukkan mereka tidak senang dengan dasar PPSMI yang terang-terangan tidak menguntungkan anak bangsa dari semua kaum termasuk dari kaum cina. Jika mereka ingin terus disokong oleh rakyat jelata negara ini, perlulah mengambil langkah drastik dengan memansuhkan dasar tersebut. Lihat sahaja mereka yang menyertai perhimpunan tersebut, jumlahnya mencecah ratusan ribu! (seperti biasa media arus perdana mengurangkan jumlahnya) Mereka hadir dengan tiada paksaan sesiapa,hanya merasa perlu menyelamatkan bangsa dan bahasa mereka dari terus ketinggalan di arus kemajuan dunia.





Banyak kajian telah dilakukan oleh ramai profesor di universiti, yang menunjukkan dasar PPSMI tidak memberi faedah yang memberasangkan, malah merugikan negara kelak jika tidak dihentikan dasar ini. Saya bukanlah membenci bahasa Inggeris,malah menyokong jika dipertingkatkan lagi kefahaman bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Namun, oleh kerana pengajaran bahasa Inggeris itu tidak efektif, mungkin oleh sebab beberapa faktor yang tidak jelas, menjadikan pelajar kita mundur dalam penggunaan bahasa Inggeris. Inilah perkara yang perlu diselesaikan, bukannya menambah masalah baru. Oleh itu, perjuangan GMPPSMI masih relevan selagi dasar PPSMI tidak dimansuhkan.




Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini - Datuk A. Samad Said

Tiada ulasan:

Catat Ulasan