Khamis, 26 Februari 2009

Menumbang Kezaliman






" Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa."



Perjuangan orang dahulu dalam menegakkan bahasa dan budaya sungguh kuat dan jitu.Kini, semangat itu telah berpindah kepada generasi kini untuk terus mengangkat martabat bahasa bangsa di tempat yang tinggi, sebagai bahasa kebangsaan dalam erti kata yang sebenar. Telah tiba masa untuk kita menyahut seruan para pejuang dan pencinta bahasa untuk terus mara meruntuhkan pengkhianat bahasa Melayu. Bukankah Allah s.w.t. telah menurunkan tiap-tiap bangsa itu bahasanya sendiri, sebagai cara berkomunikasi antara insan dan untuk memahami sesama kita.



Usah kita panjangkan alasan untuk tidak ikut serta dalam penetangan ini. Telah banyak bukti menunjukan dasar PPSMI tidak menguntungkan semua, terutama saudara kita diluar bandar. 7 Mac ini adalah tarikh untuk menunjukan rasa kecewa kita dengan dasar PPSMi ini. Yang dekat, digalakkan menyertai penetangan tersebut, untuk yang jauh, kita doakan agar perhimpunan rasaksa itu dapat menunbangkan dasar zalim itu!



Sasterawan Negara, Datuk A. Samad. Said berkata:
"Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai bahasa Melayu yang saya perjuangkan, tidak kira di pentas politik mana sekali pun. Umur saya sudah 76 tahun dan sudah sampai masanya saya memperjuangkan bahasa ibunda saya sebelum hilangnya bahasa Melayu di muka bumi."






Jumaat, 20 Februari 2009

Tugas

Bulan jadi saksi,
kita sedia memikul janji,
mendaki ke puncak tinggi,
menyelam hingga dasarnya,
menghadap musuh paling setia,
dan tangan erat mengenggam,
tugas dengan tegas,
amanah dan tanggungjawab,
hanya mengharap keredhaanNya,
pada Allah kita berserah,
untuk Allah kita berjuang,
dengan Allah kita berlindung.

Khamis, 5 Februari 2009

Keranda 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah Sebelum lidahmu jadi bisu

- Usman Awang -

Selasa, 3 Februari 2009

Ayuh Selamatkan Bahasa Melayu!



Perkara 152, perenggan 1, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan ditulis dalam bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen". Bahasa jiwa bangsa.Mati bahasa, runtuhlah bangsa.Amat jelas sekali bahawa nyawa bahasa Melayu terancam oleh dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). Dasar yang berjalan sejak 2003 telah mencabar kedudukan bahasa rasmi negara dan bahasa rakyat jelata negara.
Dasar ini telah menyebabkan para pelajar Melayu khususnya di luar bandar tercicir dalam pembelajaran mereka untuk subjek berkaitan sains dan matematik, apabila bahasa Inggeris digunakan. Sebelum dasar ini diperkenalkan, pencapaian akademik para pelajar Melayu luar bandar meninigkat dan mengembang tiap tahun.Namun, dasar ini telah memberi kesan yang buruk terhadap mereka dalam bidang pembelajaran dan seterusnya sukar untuk meneruskan pembelajaran mereka.Hal ini diakui sendiri oleh bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hassan Ahmad pada ahad lepas semasa melancarkan kempen mansuhkan PPSMI di Kuala Lumpur.




Tujuan PPSMI antaranya adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar dalam menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk subjek sains dan matematik, juga sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu moden. Alasan ini dikuatkan lagi dengan kebanyakan universiti tempatan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran, apatah lagi di luar negara.Namun, adakah graduan yang tidak sempat menjadi 'mangsa' dasar ini kurang kualitinya? Bukankah ramai pakar yang dilahirkan dalam bidang sains dan matematik tidak mengikuti pun dasar itu,malah menguasai bahasa Inggeris lebih baik.
Saya tidak rasakan isu ini sebagai isu politik, kerana yang membantah PPSMI adalah sebahagian besar rakyat yang berbilang kaum dan agama, serta berbeza fahaman politik. Saya menyertai pejuang dan pencinta bahasa yang lain dalam membantah penerusan penggunaannya pada masa akan datang. Saya juga sebagai 'mangsa' dasar ini menyeru saudara yang lain menggunakan sepenuhnya saluran yang ada untuk membantah PPSMI sehingga dimansuhkan dasar tersebut.
Selamatkan Bahasa Melayu!