Khamis, 30 April 2009

Salam Benua

I

MEREKA memisahkan kita
pasport visa wilayah segala tempoh nama
mereka merompak kita dengan undang-undangnya
peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya
kita dipaksa memilih salah satu
dan kita mesti memilihnya
tiada jalan lain

II

Telah saudara pilih senapang dan peluru
banyak pemimpin memilih dollarnya
untuk ini saudara membasahi baju
rumput-merah sungai-merah
tangis anak-anak
darah rakyat tertindas

III

Saudara memerah kaktus melumat batu
menjadikannya minuman makanan
gadis-gadis bekerja debu pasir dandanannya
anak-anak kecil menyandang senapang
saudara menghitamkan langit menyelubungi
saluran minyak
setengahnya menyanyi di penjara
untuk pembebasan Palestin

IV

Kami bertatih di sawah semakin kering
petani-petani mulai menebang hutan dara
permulaan kecil pada ketenangan segumpul awam
ketenangan yang di belakangnya memangkas kami
yang sedikit ini sedang belajar
dari tiap pengalaman saudara
dan pengalaman sendiri
kami memampatkan gerhana bulan mei
pada tujuan tempat
nusantara ini

V

Salam
tanpa visa
pasport
golf
warna
kemanusiaan rakyat
seluruh benua

Usman Awang
1970

*Dipetik dari Blog Dunia Penyair

Sajak ini secara ringkasnya, yang berunsur kemanusiaan ini sering berkumandang di radio IKIM.FM, membawa pembacanya berfikir sejenak tentang kezaliman pihak yang mendakwa dirinya polis dunia. Selain mempunyai kuasa dalam pencaturan ekonomi, mereka juga mengugut pihak lain supaya mengikut kata-kata dan membenarkannya, dan pihak yang dianiya tidak dapat membuat pilihan. Penyajak juga secara terang mengungkap penderitaan rakyat Palestin yang ditindas dan dizalimi oleh tentera Israel, yang mendapat sokongan kuat Amerika Syarikat. Penyajak menunjukan rasa simpati dengan mengatakan secara maksudnya, walaupun kami di nusantara, kami memahami penderitaan yang dialami oleh saudara kami di Palestin. Dan pada akhirnya penyajak menyampaikan salam keamanan pada semua, dengan tiada pemisah yang menghalang.Sajak ini amat menyentuh jiwa saya, dalam melihat kekejaman di Palestin masih belum reda.Ini menunjukan keangkuhan kuasa besar dari melihat penderitaan rakyat Palestin sebagai satu perkara biasa. Usah kita lupa saudara kita di Palestin dan berdoalah kepada Allah agar kita berjaya, mengembalikan tanah air rakyat Palestin, juga berjaya di dunia dan akhirat.

Khamis, 9 April 2009

Suara Rakyat

YB Manikumar pilihan rakyat di N25

Rakyat telah bersuara. Bukit Gantang dan Bukit Selambau menjadi bukti sebahagian besar rakyat di sana menolak pemerintahan UMNO/BN yang tidak peka dan angkuh dalam pentadbiran. Ini juga adalah akibat melukakan hati para pejuang dan pencinta bahasa dalam desakan mereka SUPAYA MEMANSUHKAN PPSMI. Nampaknya gesaan ini tidak diendahkan. Selepas pertukaran kempimpian dari Tun Abdullah kepada Datuk Seri Najib, perubahan besar dalam UMNO ( seperti dijangka,lulusan dari oxford itu diangkat menjadi ketua pemuda), kemasukan Tun Mahathir dalam UMNO semula ( pecetus kepada dasar yang membuatkan anak-anak bangsa rugi) dan segala projek "mee segera" di P.59 dan N.25, UMNO/BN masih gagal menguasai hati dan jiwa rakyat dan segala peristiwa yang berlaku sudah rakyat terjemahkan dalam peti undi.



Datuk Seri Nizar dan isteri meraikan kemenangan di P59



Keadaan ini terus berlaku sehinnga Pilihan Raya Umum akan datang sekiranya UMNO/BN masih gagal membetulkan banyak perkara dalam sistem pemerintahan, bersihkan kerajaan dari rasuah dan menjiwai dan memahami hati rakyat yang mahukan pemerintahan yanng berdasarkan prinsip keadilan dan kebenaran. Tamparan hebat ini perlu UMNO/BN sedari bahawa mereka ditolak oleh rakyat secara perlahan-lahan dan tiba masa mereka akan ditumbangkan. Ini tidak mustahil. PakatanRakyat akan terus diangkat kerana menyokong para pejuang dan pecinta bahasa dalam perjuangan mereka supaya dasar PPSMI dihapuskan.