Selasa, 19 Mei 2009

Terima Kasih Cikgu!

Saya berharap tidak terlewat lagi untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik yang banyak mengorbankan masa, tenaga dan harta dalam mendidik anak bangsa mengenal dunia. Guru yang sebenar bukan sahaja mendidik apa yang ditugaskan, tetapi mengajar muridnya erti kehidupan yang sebenar, realiti yang mencabar serta bersedia menghadapi masa depan. Semoga semua warga pendidik sedar akan tanggungjawab yang digalas serta yakin akan mendapat hikmah dalam perjalanan kehidupan sebagai seorang guru, Insya'llah. Terima Kasih Cikgu!


Guru O Guru*


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

*Hadiah saya buat semua guru, yang pernah mengajar saya atau tidak.


1 ulasan:

  1. Salam ziarah blog....maaf atas kesibukan empunya diri dek kekangan program2 yang mengunjung tak henti-henti.Selamat hari guru farid.terima kasih atas tunjuk ajar ko selama ini yang sedkit sebanyak membantuku untuk lebih memahami rahsia kehidupan yang tidak akan habis..

    BalasPadam