Khamis, 26 Februari 2009

Menumbang Kezaliman






" Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa."



Perjuangan orang dahulu dalam menegakkan bahasa dan budaya sungguh kuat dan jitu.Kini, semangat itu telah berpindah kepada generasi kini untuk terus mengangkat martabat bahasa bangsa di tempat yang tinggi, sebagai bahasa kebangsaan dalam erti kata yang sebenar. Telah tiba masa untuk kita menyahut seruan para pejuang dan pencinta bahasa untuk terus mara meruntuhkan pengkhianat bahasa Melayu. Bukankah Allah s.w.t. telah menurunkan tiap-tiap bangsa itu bahasanya sendiri, sebagai cara berkomunikasi antara insan dan untuk memahami sesama kita.



Usah kita panjangkan alasan untuk tidak ikut serta dalam penetangan ini. Telah banyak bukti menunjukan dasar PPSMI tidak menguntungkan semua, terutama saudara kita diluar bandar. 7 Mac ini adalah tarikh untuk menunjukan rasa kecewa kita dengan dasar PPSMi ini. Yang dekat, digalakkan menyertai penetangan tersebut, untuk yang jauh, kita doakan agar perhimpunan rasaksa itu dapat menunbangkan dasar zalim itu!



Sasterawan Negara, Datuk A. Samad. Said berkata:
"Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai bahasa Melayu yang saya perjuangkan, tidak kira di pentas politik mana sekali pun. Umur saya sudah 76 tahun dan sudah sampai masanya saya memperjuangkan bahasa ibunda saya sebelum hilangnya bahasa Melayu di muka bumi."






Jumaat, 20 Februari 2009

Tugas

Bulan jadi saksi,
kita sedia memikul janji,
mendaki ke puncak tinggi,
menyelam hingga dasarnya,
menghadap musuh paling setia,
dan tangan erat mengenggam,
tugas dengan tegas,
amanah dan tanggungjawab,
hanya mengharap keredhaanNya,
pada Allah kita berserah,
untuk Allah kita berjuang,
dengan Allah kita berlindung.

Khamis, 5 Februari 2009

Keranda 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah Sebelum lidahmu jadi bisu

- Usman Awang -

Selasa, 3 Februari 2009

Ayuh Selamatkan Bahasa Melayu!



Perkara 152, perenggan 1, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan ditulis dalam bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen". Bahasa jiwa bangsa.Mati bahasa, runtuhlah bangsa.Amat jelas sekali bahawa nyawa bahasa Melayu terancam oleh dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). Dasar yang berjalan sejak 2003 telah mencabar kedudukan bahasa rasmi negara dan bahasa rakyat jelata negara.
Dasar ini telah menyebabkan para pelajar Melayu khususnya di luar bandar tercicir dalam pembelajaran mereka untuk subjek berkaitan sains dan matematik, apabila bahasa Inggeris digunakan. Sebelum dasar ini diperkenalkan, pencapaian akademik para pelajar Melayu luar bandar meninigkat dan mengembang tiap tahun.Namun, dasar ini telah memberi kesan yang buruk terhadap mereka dalam bidang pembelajaran dan seterusnya sukar untuk meneruskan pembelajaran mereka.Hal ini diakui sendiri oleh bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hassan Ahmad pada ahad lepas semasa melancarkan kempen mansuhkan PPSMI di Kuala Lumpur.




Tujuan PPSMI antaranya adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar dalam menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk subjek sains dan matematik, juga sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu moden. Alasan ini dikuatkan lagi dengan kebanyakan universiti tempatan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran, apatah lagi di luar negara.Namun, adakah graduan yang tidak sempat menjadi 'mangsa' dasar ini kurang kualitinya? Bukankah ramai pakar yang dilahirkan dalam bidang sains dan matematik tidak mengikuti pun dasar itu,malah menguasai bahasa Inggeris lebih baik.
Saya tidak rasakan isu ini sebagai isu politik, kerana yang membantah PPSMI adalah sebahagian besar rakyat yang berbilang kaum dan agama, serta berbeza fahaman politik. Saya menyertai pejuang dan pencinta bahasa yang lain dalam membantah penerusan penggunaannya pada masa akan datang. Saya juga sebagai 'mangsa' dasar ini menyeru saudara yang lain menggunakan sepenuhnya saluran yang ada untuk membantah PPSMI sehingga dimansuhkan dasar tersebut.
Selamatkan Bahasa Melayu!

Sabtu, 31 Januari 2009

Hutan Batu

Di hutan batu ini,
manusia sebuas binatang,
rakus menimba harta,
menghirup nafsu,
memakan segala kotor debu,
meliar tajam pandangan,
menjuarai segala pendebatan,
dan hilang arah tujuan.

Belantara bandar ini,
penuh dengan kepincangan,
sifat dan sikap insan,
tiada nilainya,
seburuk suratkhabar lama,
tin kosong dan plastik,
yang dikutip untuk kitar semula.


Merbok
2009

Berani Kerana Benar

"Kamu membunuh orang,"Kata-kata bagai peluru itu ditujukan khas kepada Presiden israel,Shimon Peres oleh Perdana Menteri Turki ,Recep Tayyip Edrogan yang telah menyebabkan beliau dihalang untuk terus berucap di Forum Ekonomi Dunia yang dihadiri ratusan politikus dan ahli korporat elit dari seluruh dunia.

Sebelum itu, beliau dengan kecewa berkata"Saya berasa sangat sedih kerana hadirin bertepuk tangan selepas tuan (Peres) berucap kerana ramai penduduk (Palestin) telah terbunuh," Peres dengan bongkak mempertahankan kekejaman tentera yahudi laknatullah itu yang telah menyebabkan lebih 1300 orang warga Gaza terkorban dan ribuan yang lain menderita dan terseksa dengan alasan sebagai balasan ribuan mortar dan roket yang dilancarkan oleh Hamas keatas wilayah Israel.


Setakat ini jumlah yang terkorban di pihak israel hanya 10 orang!








Edrogan terus keluar dari forum tersebut dan berikrar tidak akan menyertainya lagi.Beliau disambut sebagai wira oleh rakyat Turki yang cukup prihatin dengan kesengsaraan yang dihadapi oleh penduduk Gaza.



Ini bukanlah kali pertama israel dikutuk oleh pemimpin dunia di sebuah persidangan antarabangsa, pernah juga berlaku pada tahun 2003,dimana Tun Dr. Mahathir dengan lantang mengatakan Israel adalah proksi kejahatan dunia.Kata-kata Tun itu telah dikecam hebat oleh Presiden Amerika ketika itu, George W. Bush dan juga beberapa pemimpin pro israel yang lain.

Tahniah kepada Edrogan pada keberanian yang ditonjolkan walaupun tidak memberi kesan yang besar kepada israel terkutuk itu namun ianya telah menyedarkan masyarakat dunia untuk terus bersimpati dengan nasib penduduk Gaza dan menekan israel supaya menghentikan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan itu.Sekurang-kurangnya beliau telah menyerang israel secara lisan dan terbuka.

Sekadar bertanya, ada lagikah pemimpin Islam seberani Edrogan dan Mahathir?

Khamis, 29 Januari 2009

Langkah Pertama..

Alhamdulilah, segala puji bagi Allah yang masih memberi nikmat kepada saya untuk berbicara di ruang maya yang luas ini. Sebernanya sudah lama saya merencana untuk membuat blog, apatah lagi dunia blog telah mencetus satu fenomena baru dalam alam maya untuk menyampaikan luahan, pandangan, kutukan dan sebagainya.

Saya mengambil masa agak lama kerana kurang yakin pada awalnya, apakah blog ini dapat memberi impak pada masyarakat.Setelah berbagai kejadian yang memberi dampak besar kepada masyarakat, seperti tsunami politik, sedikit sebanyak meyakinkan saya bahawa blog sebagai media alternatif yang terlaris mampu memberi kesan kepada seluruh dunia.

Oleh kerana minat saya pada bidang sastera,khususnya puisi, saya akan cuba berkarya sebaik mungkin (walaupun tidaklah sehebat mana) dan memaparkan karya-karya puisi oleh penyair lagenda dari dalam dan luar negeri.Juga akan dimuatkan info-info berguna dan semasa.

Dan saya berharap langkah pertama ini akan terus menguatkan langkah-langkah saya seterusnya, iaitu mengenengahkan isu-isu dalam masyarakat(khususnya mahasiswa) dalam menuju baldatun tayibbah wa rabbun ghaffur.Itulah harapan kita semua dan semoga Allah memberi saya petunjuk dan ilmuNya selagi jasad hina ini bernafas lagi.Wallahualam.